DISEMBER 2023

Persediaan Tangani Covid-19, Sarawak Peruntuk RM4.85 Juta


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju meluluskan peruntukan RM4.85 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bercana Negeri Sarawak (JPBN) sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat ini Kerajaan Sarawak masih mampu menangani dan mengurus kes Covid-19 di negeri ini sungguhpun menunjukkan peningkatan bagi minggu epidemik 50 (dari 10 Disember hingga 16 Disember 2023) berbanding minggu epidemik 36 (3 September hingga 9 September 2023).

Bagi minggu epidemik 50 sebanyak 631 kes Covid-19 dilaporkan iaitu peningkatan 103.5 peratus berbanding minggu epidemik 36 yang mencatat 310 kes, katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN menegaskan, bagaimanapun tiada kematian dilaporkan dalam minggu epidemik 50, justeru, jumlah kematian akibat Covid-19 kekal sembilan kes tahun ini.

Menurut Uggah lagi, bagi minggu epidemik 50, seramai 45 pesakit Covid-19 dimasuk ke hospital dengan kategori 3,4 dan 5 berbanding 25 kes minggu terdahulu.

Memandangkan kes Covid-19 dan kemasukan pesakit ke hospital menunjukkan peningkatan sejak beberapa minggu lalu, beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM2 juta untuk hospital medan di Kuching, Sibu dan Miri sebagai persediaan awal.

Uggah memberitahu, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta untuk membeli ubat-ubatan serta menampung keperluan bagi kumpulan yang berisiko dijangkiti Covid-19.

“Peruntukan yang disediakan oleh kerajaan itu bagi memastikan kesihatan rakyat di negeri ini sentiasa dijaga,” katanya dan menambah stok ubat-ubatan sedia ada mencukupi.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat supaya sentiasa menjaga kebersihan, mengguna pelitup muka di khalayak ramai, mengamalkan TRISS (uji, lapor, mengasing,memaklum dan mendapat rawatan) jika mengalami gejala Covid-19.

Bagi kumpulan berisiko tinggi, beliau menasihati mereka supaya mendapatkan suntikan bagi mengurangkan risiko dijangkiti.

Sumber dari : Jiwa Bakti